KOTA BHARU: Siasatan dalaman sedang dijalankan PDRM terhadap empat anggotanya yang ditahan selepas disyaki membekalkan air ketum dan tembakau kepada tahanan di lokap Mahkamah Kota Bharu, di sini, 29 Oktober lalu.
Empat anggota yang berpangkat Lans Koperal dan Koperal berusia antara 25 hingga 33 tahun itu sudah ditahan.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, ke semua anggota terbabit sebelum ini direman selama tiga hari bermula 30 Oktober hingga 1 November lalu untuk siasatan lanjut.
“Mereka ditahan untuk siasatan lanjut termasuk siasatan dalaman. Kita akan ambil tindakan tegas sekiranya bersalah termasuk proses tahan kerja.
“Siasatan juga bagi mengenal pasti sama ada bahan yang dibawa dan dijumpai itu untuk kegunaan mereka atau diedarkan kepada tahanan lokap.
“Jika benar (bawa dan bekal) mereka akan diambil tindakan mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952,” katanya pada sidang media selepas Perhimpunan Bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini, hari ini.
Beliau berkata, ketika ditangkap, air ketum yang ditemui tidak ada bersama mereka.
Menurutnya, pihaknya juga akan mengambil tindakan tatatertib kepada mereka sekiranya didapati bersalah selari dengan Peraturan 3C Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.
Terdahulu, empat anggota yang bertugas di Mahkamah Kota Bharu itu ditahan oleh Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) yang merampas empat botol disyaki air ketum yang disorok di belakang sofa di bilik rehat lokap dan juga tembakau dari salah seorang daripada mereka.
Mereka ditahan untuk siasatan lanjut kerana disyaki terbabit dalam pengedaran air ketum dan tembakau di dalam lokap mahkamah.
Pada perkembangan yang sama, Muhamad Zaki berkata, sepanjang tahun ini terdapat 25 kes yang membabitkan kesalahan salah laku pegawai dan anggota polis.