
BUTTERWORTH: Keputusan bedah siasat berhubung punca kematian Muhammad Fahmi Hafiz Mohamad Fakhruddin mengesahkan murid tahun empat Sekolah Kebangsaan Sungai Dua itu maut akibat tercekik.
Bapa kanak-kanak itu, Mohamad Fakhruddin Mohamad Fikri, 35, berkata, pada sijil kematian tertera punca kematian anaknya, 10, disebabkan ‘hypoxic ischemic encephalopathy consistent with choking compilation pneumonia’.
“Doktor maklumkan anak saya meninggal dunia disebabkan tercekik gula-gula,” katanya ketika ditemui pemberita selepas upacara pengebumian di Tanah Perkuburan Islam Kampung Permatang Binjai, Penaga di sini, hari ini.
Polis sebelum ini turut mengesahkan kematian, Mohammad Fahmi Hafiz selepas didakwa tercekik gula-gula kenyal berbentuk mata tidak melibatkan sebarang unsur jenayah.
Mohamad Fakhruddin yang bekerja sebagai penghantar makanan berkata tidak terdetik di hatinya untuk menyalahkan sesiapa dan dia juga tidak berhasrat mengambil tindakan undang-undang atas tragedi menimpa anak sulung daripada dua beradik itu.
“Saya tiada nak ambil apa-apa tindakan susulan kejadian itu, cuma saya diminta membuat laporan polis, kalau diikutkan saya tidak mahu, tetapi kami dinasihatkan berbuat demikian kerana ia berlaku dalam kawasan sekolah.
“Saya dan isteri reda dengan takdir yang sudah tertulis buat keluarga kami walupun tiada tindakan diambil, besar harapan saya agar kejadian yang menimpa anak kami tidak berulang kepada anak orang lain,” katanya.
Terdahulu, jenazah Mohamad Fahmi yang selamat dikebumikan jam 3.20 petang selepas disolatkan di Masjid Jamek Kampung Permatang Binjai yang dihadiri lebih 150 jemaah antaranya terdiri daripada ahli keluarga, guru-guru, rakan sekolah Allahyarham dan penduduk setempat.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.