
Oleh: Syafiqah Damanhuri
PUTRAJAYA: Proses bedah siasat seorang pegawai Tribunal Rayuan Kastam, Kementerian Kewangan yang ditemui maut semalam, bermula kira-kira jam 10 pagi ini.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa memaklumkan setakat ini kes berkenaan masih diklasifikasikan sebagai kes kematian mengejut (SDR).
“Post mortem masih belum selesai.
“Kes masih dalam siasatan SDR sekiranya ada keterangan yg menunjukan ada perlakuan jenayah, kes akan diklasifikasikan semula.” Katanya ketika dihubungi.
Sementara itu, tinjauan di Jabatan Forensik Hospital Putrajaya sejak jam 8 pagi tadi mendapati suasana lengang dan tiada kelibat waris ditemui.
Kenderaan pacuan empat roda polis dilihat tiba di perkarangan Jabatan Forensik juga pada jam 10 pagi.
Pihak Hospital Putrajaya memaklumkan proses bedah siasat berkemungkinan selesai pada sebelah petang.
Semalam, mayat Pegawai Tribunal Rayuan Kastam itu ditemui dalam Pejabat Perbendaharaan di Kementerian Kewangan.
Berdasarkan maklumat awal, mayat lelaki berusia 45 tahun itu dijumpai dalam keadaan terbaring di atas lantai dengan leher dan kaki terjerut ‘cable tie’.
Datuk Rusdi mengesahkan kejadian itu dan memaklumkan bahawa pihaknya menerima panggilan telefon berhubung perkara berkenaan pada jam 10.56 pagi semalam.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.