KUALA LUMPUR: Empat hingga enam siri hujan lebat yang berisiko menyebabkan banjir dijangka melanda negara bermula bulan depan hingga Februari 2024.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan, keadaan itu dipengaruhi Monsun Timur Laut (MTL) yang melanda negara bermula bulan depan sebelum berakhir Mac 2024.
“Di Kelantan, Terengganu dan Pahang, episod hujan lebat berlaku antara November hingga Disember 2023 manakala mulai Disember 2023 hingga Januari 2024, hujan lebat dijangka lebih tertumpu di Johor, Sabah dan Sarawak.
“Selain itu, hujan berterusan juga boleh berlaku di negeri sebelah pantai barat sekiranya luruan monsun kuat atau kewujudan sistem tekanan rendah di rantau negara,” kata jabatan itu dalam laman web mereka.
MetMalaysia berkata, sepanjang tempoh ini, kebanyakan tempat dijangka mengalami jumlah hujan bulanan pada paras purata kecuali di beberapa kawasan di Sabah dan utara Semenanjung serta kawasan pedalaman yang turut dijangka menerima hujan sedikit pada bawah purata pada penghujung MTL.
“Semasa tempoh ini, negara akan menerima tiupan angin konsisten dari arah timur laut antara 10 hingga 20 kilometer per jam.
“Beberapa siri hujan lebat yang menyeluruh juga dijangka berlaku terutama di negeri pantai timur Semenanjung dan barat Sarawak.
“Pada November dan Disember kebanyakan negeri di Semenanjung, Sabah dan Labuan dijangkakan menerima hujan pada paras purata kecuali sebahagian kawasan di Kudat, Sandakan dan Tawau yang dijangkakan menerima hujan sedikit bawah purata,” katanya.
Katanya, keadaan El Nino juga sedang melanda dunia dan dijangka meningkatkan intensitinya bermula penghujung tahun ini sehingga awal tahun hadapan.
“Faktor pemanasan global yang sedang dihadapi dunia sejak akhir-akhir ini, menyebabkan kesan fenomena El Nino dijangka menjadi lebih ekstrem berbanding episod terdahulu dengan peningkatan suhu dan pengurangan jumlah taburan hujan di seluruh negara,” katanya.
Untuk rekod, peningkatan lebih 60 peratus daripada purata jumlah hujan jangka panjang dikategorikan Sangat Melebihi Purata diikuti Melebihi Purata (40 hingga 60 peratus) serta Sedikit Melebihi Purata (20 hingga 40 peratus).