KUALA LUMPUR: Hujan lebat di sekitar ibu negara petang semalam mengakibatkan beberapa kawasan dinaiki air.
Di Cheras, orang ramai dilihat turut berkongsi situasi kejadian banjir di sekitar Eko Cheras dan Institut Biologi Molekul, Pusat Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia.
Menerusi perkongsian yang dilihat di media sosial X, orang ramai turut menyatakan kawasan berhampiran pusat beli-belah Eko Cheras dinaiki air.
“Kekal selamat dan jangan lupa untuk menambah pelan insurans kenderaan anda bagi memastikan kereta anda dilindungi sekiranya mengalami kerosakan akibat banjir,” kata seorang pengguna media sosial.
Dalam pada itu, seorang pemilik akaun Facebook, Ali Ghani, memaklumkan pemilik kenderaan yang meletakkan kereta mereka di Institut Biologi Molekul Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UMBI) untuk mengeluarkan kenderaan mereka.
“Tolong alihkan kenderaan anda, Zon R, parkir UMBI dinaiki air.
Selain Cheras, Jalan Chan Sow Lin, Jalan Raja Chulan, Jalan Kinabalu, Salak Expressway, Jalan Loke Yew, MRR2, AEON Maluri, Jalan Permaisuri, Yaacob Latif Tunnel dan Jalan Travers turut dinaiki air.
Dalam pada itu, MetMalaysia petang semalam turut mengeluarkan amaran berhubung ribut petir dan hujan lebat yang bakal berlaku di Kedah (Kubang Pasu, Pokok Sena, Padang Terap, Pendang, Sik, Baling, Kilometer dan Bandar Baru) serta beberapa bahagian di Perak, Kelantan (Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Bachok, Machang dan Pasir Puteh) serta Terengganu (Besut, Setiu dan Hulu Terengganu).
Amaran hujan lebat turut dikeluarkan di Pahang (Cameron Highlands, Raub, Bentong, Temerloh, Bera, Pekan, Rompin) serta Selangor (Sabak Bernam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak, Petaling, Hulu Langat).