
KUALA LUMPUR: Pasukan Gerakan Am (PGA) Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman mengesan beberapa lagi kilang haram memproses sisa elektronik (e-waste) di seluruh negara.
Ia susulan 47 kilang yang diserbu pihaknya menerusi 23 batalion PGA di seluruh negara sejak Sabtu lalu.
Timbalan Pengarah Bukit Aman, Datuk Mohamad Suzrin Mohamad Rodhi berkata, kegiatan memproses sisa elektronik (e-waste) haram adalah satu ancaman.
“Beberapa premis atau kilang kini masih dikesan menerusi Op Hazard iaitu operasi bersepadu yang dijalankan pelbagai agensi.
“Sebanyak 23 batalion PGA akan dikerahkan untuk mengesan kilang-kilang e-waste yang beroperasi secara haram di seluruh negara,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, operasi terhadap kilang e-waste akan dilakukan secara berterusan bagi membanteras kegiatan haram ini.
“Setiap batalion juga diarahkan mempunyai satu keberhasilan. Kebanyakan kilang yang diserbu adalah hasil dari risikan yang dilakukan PGA,” katanya.
Terdahulu, Op Hazard ini dilaksanakan serentak membabitkan 765 keanggotaan di seluruh negara sejak Sabtu lalu.
Setakat ini, sebanyak 47 premis dan kilang haram yang menjalankan kegiatan memproses e-waste sudah diserbu.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.