comscore
Tumpuan :
Nasional

Beberapa kawasan pantai barat Semenanjung catat kualiti udara tidak sihat

Foto: NSTP

KUALA LUMPUR: Beberapa kawasan di pantai barat Semenanjung Malaysia mencatat kualiti udara tidak sihat melebihi melebihi bacaan 100.

Dengan Larkin, Johor dan Nilai, Negeri Sembilan mencatatkan bacaan tertinggi.

Manakala kawasan lain yang turut mencatatakan kualiti tidak sihat ialah di lima negeri termasuk ibu negara, Negeri Sembilan, Melaka, Johor dan Pulau Pinang.

Berdasarkan maklumat laman web Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), Indeks Pencemaran Udara (IPU) tertinggi ialah Larkin dengan bacaan 156, diikuti Nilai (136), Bukit Rambai (134), Port Dickson (128), Kuala Lumpur (112), Seberang Jaya (107) dan Batu Pahat (104).

Setakat ini, tiada bacaan kualiti udara yang berada dalam tahap berbahaya dan sangat tidak sihat.

Namun, setakat ini 50 kawasan berada dalam kualiti udara sederhana di seluruh negara termasuk di Sabah dan Sarawak.

Setakat jam 11.16 pagi tadi, portal Asean Specialized Meteorological Centre (ASMC) menjelaskan cuaca kering berterusan di selatan Sumatera dan tenggara Kalimantan dengan kepulan asap sederhana dan ia bertiup ke arah barat laut atau utara.

Sementara itu di Johor Bahru, tinjauan di Larkin yang mencatat bacaan IPU 156 mendapati suasana berkabus dan mendung walaupun matahari panas terik.

Malah tahap pemandangan bangunan tinggi di sekitar Larkin yang sebelum ini dapat dilihat jelas namun kelihatan sedikit kelam berikutan jerebu yang berlaku.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor, Dr Mohd Famey Yusoff, berkata stesen pengawasan kualiti udara automatik di Larkin telah menunjukkan bacaan kualiti udara tidak sihat bermula sejak tengah malam tadi.

“Keadaan ini berterusan dan hingga jam 12.00 tengah hari ini bacaan IPU di Larkin mencatatkan kualiti udara tidak sihat apabila ia mencecah bacaan 156 sejak pagi tadi.

“Pada jam 8.00 pagi tadi pula, stesen di Batu Pahat telah mula menunjukkan bacaan kualiti udara tidak sihat iaitu 102 dan masih berstatus tidak sihat hingga petang ini.

“Namun pemantauan titik panas (hotspot) di Johor dan dalam negara menunjukkan tiada titik panas yang dikesan. Sehubungan itu, JAS memohon semua pihak untuk tidak membuat pembakaran terbuka di kawasan masing-masing bagi meminimumkan impak jerebu tempatan.

“JAS juga akan memantau secara rapi dan berterusan kualiti udara di Johor dan akan memaklumkan keadaan ini dari semasa ke semasa. Orang awam digalakkan untuk memuat turun aplikasi MyIPU bagi mendaparkan maklumat status kualiti udara secara setiap jam dengan trendnya sekali,” katanya.

Bacaan IPU antara 0 hingga 50 adalah dikategorikan paras baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) manakala 300 ke atas berbahaya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Johor, Ling Tian Soon menasihatkan penduduk di sekitar bandar raya Johor Bahru mahupun Batu Pahat supaya mengehadkan aktiviti di kawasan terbuka berikutan IPU tidak sihat.

Katanya, orang ramai di kawasan terjejas diminta mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan termasuk dinasihati menggunakan pelitup muka.

“Ketika bacaan IPU tidak sihat, sekolah di kawasan terjejas juga dinasihatkan memberhentikan dan tidak membenarkan segala aktiviti murid atau sekolah di luar seperti sukan,” katanya.

|ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini