Tumpuan :
Nasional

Beberapa kawasan di Sarawak dilanda hujan lebat, banjir kilat

Foto: JBPM

KUCHING: Beberapa penempatan penduduk di negeri ini dinaiki air berikutan hujan lebat yang berterusan sejak malam tadi.

Antara kawasan terjejas, kawasan Batu Lawa di Kuching terutamanya di Kampung Sinar Budi Baru, Taman Desa Wira.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Dewan Futsal, Kampung Sinar Budi Baru.

Katanya, setakat ini tujuh orang dari satu keluarga sudah dipindahkan, namun jumlah rasmi masih belum diperolehi.

“Beberapa rumah dinaiki air hingga paras lutut orang dewasa dan hujan masih berterusan dikhuatiri akan memburukkan lagi keadaan.

“Pemantauan masih diteruskan pasukan penyelamat dan penduduk dinasihatkan berpindah jika keadaan semakin merbahaya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Di Mukah, banjir kilat berlaku di Kampung Skim Penempatan Kuala Lama dengan sebahagian besar tempat sudah dinaiki air.

Pemindahan dijalankan berikutan keadaan air yang semakin membimbangkan.

Menurut jurucakap PGO, pemindahan membabitkan mangsa warga emas wanita berusia 87 tahun yang dihantar ke rumah anaknya di perumahan Orchid.

Pemindahan kedua pula dilakukan untuk menghantar seorang lagi wanita warga emas berusia 83 tahun ke rumah anaknya di perumahan Lavender.

Turut dipindahkan, tiga lagi mangsa iaitu seorang wanita dewasa, seorang kanak-kanak lelaki dan seorang kanak-kanak perempuan.

Sementara itu, di Saratok, banjir melanda Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Kabong apabila jalan dan jambatan ke sekolah itu dinaiki air dan tidak boleh dilalui.

Kelas prasekolah di sekolah terbabit juga dilaporkan ditenggelami air.

Di Lundu, jalan menuju Kampung Pasir Hulu terputus selepas dinaiki air akibat banjir kilat pagi tadi.

Bagaimanapun, keadaan banjir di kawasan itu dilaporkan sudah pulih dan jalan berkenaan boleh dilalui walaupun mengalami kerosakan teruk.

Di Sarikei, sebanyak 21 pintu Rumah Panjang Anap, Jalan Bayong, Ulu Sarikei turut terjejas dilanda banjir kilat.

JBPM masih memantau keadaan dan pemindahan penduduk akan dilakukan jika keadaan semakin serius.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dijangka melanda beberapa kawasan di Sarawak sehingga esok.

Kawasan terbabit ialah Saratok dan Kabong di Betong, Sarikei, Meradong, Sibu, Mukah, Kapit, Song dan Miri.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini