comscore
Tumpuan :
Nasional

Beberapa kawasan di Klang terjejas akibat air pasang besar

Antara kawasan premis perniagaan di Jalan Selat Selatan, Pelabuhan Klang mengalami banjir kilat berikutan fenomena air pasang besar pagi tadi. FOTO NSTP.

KLANG: Beberapa kawasan di sekitar daerah ini digenangi air awal pagi tadi, susulan fenomena air pasang besar.

Antara kawasan terjejas adalah berdekatan Jeti Pulau Ketam, jambatan menuju Jalan Kem dari kedua-dua arah, Jalan Selat Selatan, Jalan Pandamaran, Jeti Nelayan Kampung Tok Muda, Kapar, Stesen KTM Pelabuhan Klang serta sebahagian blok Flat Taman Seri Berembang.

Fenomena air pasang besar pada paras 5.8 meter itu bermula sekitar jam 5.30 pagi dan mula menunjukkan trend menyurut kira-kira sejam setengah selepas itu.

Seorang penduduk Flat Taman Seri Berembang, Tumiwati Amli, 44 berkata setiap kali berlaku fenomena air pasang besar, kawasan di hadapan rumahnya akan digenangi air.

Katanya, keadaan akan lebih teruk jika hari berkenaan hujan yang mana limpahan air akan memasuki ke kediamannya yang terletak di tingkat paling bawah flat.

“Ini perkara biasa (limpahan air) setiap kali berlaku air pasang besar dan hari ini air sekitar paras betis di hadapan rumah dan tidak sempat masuk ke dalam.

“Setiap kali mendapat pemakluman mengenai air pasang besar dengan hujan lebat, kami akan bersiap sedia untuk mengalihkan kenderaan ke tempat yang tinggi,” katanya yang menetap di flat berkenaan sejak 15 tahun dahulu.

Sementara itu, difahamkan berlaku kesesakan di jambatan menghala ke Jalan Kem berikutan laluan berkenaan dinaiki air.

Seorang pengguna jalan raya, Nur Shahirah Nasuha, 27, yang menaiki kereta memaklumkan terkandas sejak di laluan berkenaan jam 6.50 pagi.

Katanya, dia tidak menolak kemungkinan air pasang besar menyebabkan laluan tersebut dinaiki air.

“Semalam masih boleh lalu meskipun berlaku air pasang, hari ini mungkin lebih tinggi daripada biasa dan tidak boleh dilalui kenderaan,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini