IPOH: Hujan lebat disusuli ribut petir petang tadi menyebabkan beberapa kawasan di bandar raya ini dilanda banjir kilat.
Antara kawasan terjejas di Taman Cempaka dan difahamkan di pekan Tambun, Pekan Razaki dan Kampung Sungai Rokam.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ipoh menerima panggilan berkaitan banjir di Taman Cempaka iaitu di Persiaran Cempaka Sari 11 pada jam 5.41 petang.
Katanya, setakat jam 8.30 malam belum ada penduduk di Taman Cempaka yang dipindahkan dengan paras air sedalam 0.6 meter.
“Seramai tujuh anggota melakukan operasi pemantauan membabitkan tujuh jentera Light Fire Rescue Tender (LFRT),” katanya dalam satu kenyataan.
Menerusi laporan Harian Metro, difahamkan banjir kilat berlaku antaranya di Jalan Raja Dihilir membabitkan Taman Rekreasi Padang Polo hingga persimpangan Jalan Sultan Azlan Shah.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.