Oleh: Mohd Ishak Abdillah Ngah
HULU TERENGGANU: Limpahan Sungai Berang, Sungai Terengganu, Sungai Pasir Dulu, dan beberapa anak sungai lain di sini menyebabkan jalan alternatif ke kawasan-kawasan kampung di pedalaman terputus hubungan.
Misi menyelamat dan menghantar bantuan kepada mangsa banjir juga sukar dilakukan.
Sejak jam 10.30 pagi tadi sehingga jam 4.30 petang, media Terengganu yang mengikuti Ops Murni Angkatan Tentera Malaysia (ATM) masih lagi terkandas di Kampung Pengkalan Ajal.
Ketika di kampung tersebut, Batalion ke 18 Rejimen Askar Melayu Diraja PARA, Kem Seri Pantai Kuala Nerus sempat menyantuni mangsa banjir yang terkandas untuk ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dan juga segelintir mangsa yang dibantu untuk dibawa pulang ke rumah.
Operasi diketuai oleh Ketua Kompeni Markas, Mejar Mohd Shahril Mohd Usof
bersama seorang pegawai dan 9 anggota lain-lain pangkat (LLP).
Menurut seorang mangsa banjir, Esah Ramli, 67, rumahnya digenangi air sehingga paras leher.
Bagaimanapun, sejak beberapa jam lalu air mulai surut dan dia mengambil keputusan untuk pulang membersihkan kediamannya.
“Banjir tahun ni luar biasa, tapi tak seteruk tahun 2021, hujan dua hari je air naik mendadak, tak larat nak berdepan banjir tiap-tiap tahun.
“Alhamdulillah, bila ada askar datang bantu rasa lega,” katanya.
Sementara itu, Zabedah Deraman, 39, mengambil keputusan untuk pulang ke rumah selepas ditempatkan di PPS.
“Kalau tak balik basuh rumah, nanti bila dh kering (lumpur) sangat susah nak basuh jadi kita pulang sekejap untuk bersihkan apa yang patut,” katanya.
Situasi banjir di Terengganu semakin memburuk apabila jumlah mangsa meningkat dengan mendadak sejak 8 pagi tadi.
Menurut laman sesawang Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), setakat jam 4 petang, sejumlah 8,500 mangsa banjir di Terengganu melibatkan 2,594 keluarga ditempatkan di 205 PPS di tujuh daerah yang terjejas.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.