Tumpuan :
Nasional

Bebas banjir, cuti sekolah – Rantau Panjang kembali rancak

 

Pekan Rantau Panjang semasa dan sesudah banjir, meriah dengan kehadiran pengujung dari dalam dan luar Kelantan selepas semua jalan masuk ke kawasan bebas cukai itu bebas banjir sejak semalam. FOTO: NSTP

RANTAU PANJANG: Pekan Rantau Panjang kembali menyambut kehadiran pengunjung dari dalam dan luar Kelantan, selepas semua jalan masuk ke kawasan bebas cukai itu bebas banjir, sejak semalam.

Tinjauan ke pekan berkenaan semalam mendapati, 100 peratus premis jualan dibuka, manakala pengunjung mula berpusu-pusu datang seawal jam 10 pagi.

Peniaga, Suriana Yusuf, 42, gembira apabila ramai pengunjung datang ke Rantau Panjang sekali gus memberi peluang buat peniaga sepertinya mencari rezeki selepas beberapa hari terpaksa menutup kedai kerana tiada pelanggan susulan musim tengkujuh.

“Sejak dua kali gelombang banjir melanda daerah ini, pekan Rantau Panjang masih bebas banjir yang mana kawasan utama jualan tidak dinaiki air tetapi jalan masuk sahaja terkesan terutama pintu masuk Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) nombor dua dan tiga.

“Saya sendiri menutup kedai makan selama dua hari kerana banjir yang melanda beberapa kawasan, tambahan pula pelanggan pun tiada kerana menyangka pekan ini juga dilanda banjir.

“Alhamdulillah, hari ini (semalam) jualan kembali seperti biasa tambahan pula sekarang adalah cuti sekolah yang sememangnya dinantikan kerana ramai pelancong dari dalam dan luar negara,” katanya ketika ditemui di pekan Rantau Panjang, semalam.

Sementara itu, pengunjung dari Pahang, Putri Aisya Mohamed, 28, berkata, dia pada awalnya risau perancangan untuk ke Rantau Panjang terpaksa dibatalkan selepas mengetahui berita berkenaan dengan banjir.

“Tetapi, rakan yang juga penduduk tempatan di sini memaklumkan bahawa air sudah semakin surut selain memberitahu bahawa kedai dibuka seperti biasa dan saya sekeluarga meneruskan perancangan untuk datang ke sini.

“Selain teruja untuk datang membeli-belah, kami juga berpeluang melihat sendiri suasana banjir yang masih ada di beberapa penempatan sepanjang jalan sebelum sampai ke pekan.

“Jalan untuk sampai ke sini juga tiada yang ditenggelami air selain cuaca yang agak baik tanpa hujan yang membolehkan kami bercuti serta membeli belah dengan selesa,” katanya.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini