Tumpuan :
Nasional

BBC akan terus perkukuh kualiti perbahasan

FOTO: Anwar Ibrahim / Facebook

KUALA LUMPUR: Kelab Penyokong Kerajaan Madani, BBC menjunjung dan menyokong titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim agar Ahli Parlimen mengelak daripada mempolitikkan setiap isu demi kepentingan parti.

Dalam satu kenyataan BBC berkata, adalah menjadi tanggungjawab mereka memastikan perbahasan di Parlimen kekal konstruktif, berasaskan data, serta tertumpu kepada kemajuan negara, bukan naratif politik yang memecahbelahkan.

BBC memainkan peranan penting dalam memastikan semak dan imbang dalam kerajaan, bagi menjamin dasar yang dilaksanakan benar-benar memberi manfaat kepada rakyat.

FOTO: Anwar Ibrahim / Facebook

“Ini termasuk menyuarakan kebimbangan, memberikan maklum balas dan mengkritik dasar kerajaan secara membina apabila perlu.”

“Namun, seperti yang dititahkan oleh Seri Paduka Baginda, tanggungjawab ini harus dilaksanakan dengan penuh tertib, berpandukan fakta serta kepentingan negara, bukan retorik politik semata-mata.”

Dalam usaha membina budaya Parlimen yang lebih matang dan bertanggungjawab, BBC juga akan terus proaktif dalam memperkukuh kualiti perbincangan serta keterlibatan Ahli Parlimen.

FOTO: Anwar Ibrahim / Facebook

Inisiatif seperti Sarapan Bersama Menteri, Friends of Ministry dan taklimat Parlimen yang lebih tersusun membolehkan Ahli Parlimen memahami dasar dengan lebih mendalam, memastikan perbahasan yang lebih bermakna serta berorientasikan penyelesaian.

Platform itu juga membantu Ahli Parlimen menyampaikan maklumat dasar kepada rakyat secara lebih jelas dan berkesan, sekali gus mengelakkan kekeliruan dan mengurangkan unsur sensasi politik yang tidak wajar.

Seiring dengan visi Seri Paduka Baginda, BBC menyeru semua Ahli Parlimen, tanpa mengira latar politik, untuk bersama-sama menjunjung integriti Parlimen, mengangkat perbahasan yang berasaskan fakta, serta mengutamakan kepentingan negara melebihi segala-galanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini