Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Bazar tetap meriah meskipun harga makanan meningkat


Oleh: Nadhirah Akmam, Shuhadah Marzuki

KUALA LUMPUR: Kenaikan kos bahan mentah pastinya memberi kesan bukan sahaja kepada pembeli malah peniaga yang cuba memastikan jualan masih mampu milik.

Tinjauan Buletin TV3 hari pertama berpuasa di Bazar Ramadan Taman Tun Dr Ismail, (TTDI), ibu negara mendapati sambutan daripada pengunjung masih lagi meriah meskipun harga jualan semakin meningkat berbanding tahun lepas.

“Kenaikan harga jualan itu ada dan kita pun faham peniaga perlu menanggung kos bahan mentah yang mahal. Namun, saya masih berharap harga yang ditawarkan masih berpatutan dan mempunyai lebih banyak pilihan makanan dan minuman,” kata pengunjung Farouq Ramlan.

“Kalau sebelum ni RM50 tu dah boleh dapat macam-macam tapi sekarang saya perlu berbelanja RM100 ke RM150 untuk dapatkan hidangan yang lengkap. Saya juga perlu keluarkan RM30 ke RM50 untuk dapatkan 3 atau 4 jenis kuih-muih,” kata pengunjung, Nurul Faten Adelia.

Kenaikan harga jualan juga bukanlah satu kemahuan daripada peniaga untuk membebankan pembeli namun kenaikan kos yang perlu ditanggung turut diambil kira mereka.

Peniaga, Abdul Manaf Sulaiman menjelaskan kenaikan harga jualan bagi menampung kos yang meningkat.

“Berbanding dengan  tahun lepas tahun ni memang ada kenaikan sebab harga barang mentah pun dah naik juga. Kita pun perlu ikut harga semasa sebab kalau ikut harga lama memang kami tak boleh,” katanya.

Selain itu, terdapat juga peniaga yang masih mengekalkan harga jualan seperti tahun lalu walaupun sedikit terbeban.

“Barang semakin mahal, orang ramai pun memikirkan barang keperluan mereka yang betul-betul nak dibeli baru mereka nak beli. Perbelanjaan tu perlu yang penting-penting sahajalah. So harga kita jual pun tetap sama sahaja,” kata peniaga, Mohd Fadly Mohd Salleh.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, (KPDN) terdahulu telah mengeluarkan amaran kepada peniaga di Bazar Ramadan untuk tidak menaikkan harga secara tidak munasabah.

Pemantauan turut dilaksanakan oleh pihak KPDN melalui Op Pantau bermula hari ini.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini