comscore
Tumpuan :
Nasional

Bayi perempuan maut dipercayai tersedak susu

MELAKA: Bayi perempuan yang berusia hampir dua bulan ditemui tidak sedarkan diri oleh ibunya di atas tilam selepas diberi minum susu tepung di rumah mereka di Taman Melaka Raya, di sini, awal pagi tadi.

Wanita berusia 26 tahun itu kemudiannya bergegas membawa anak bongsu daripada lima beradik itu ke Jabatan kecemasan Hospital Melaka (HM) kira-kira 6.30 pagi untuk rawatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, siasatan awal mendapati si mati tidur berdua bersama ibunya kira-kira jam 11 malam.

“Selang dua jam kemudian, wanita itu memberikan anaknya minum susu tepung dan selepas disendawakan, bayi berkenaan diletakkan dalam keadaan terlentang di atas tilam.

“Bagaimanapun ketika bangun untuk ke tandas sekitar jam 5 pagi, dia mendapati bayinya dalam keadaan tertiarap dan kaku sebelum membawanya ke HM,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Christopher, sejurus tiba bayi berkenaan diberi bantuan pernafasan (CPR) selama 40 minit oleh doktor bertugas di Zon Merah Jabatan Kecemasan Hospital Melaka, sebelum mangsa disahkan meninggal dunia pada jam 7.10 pagi.

Katanya, hasil pemeriksaan fizikal pada badan bayi itu tidak menemui sebarang kesan lebam atau luka selain keputusan imbasan Sinar X juga mendapati tiada kesan patah atau pendarahan dalaman.

“Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik dan Bilik Mayat HM untuk proses bedah siasat bagi mengetahui punca kematian dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini