comscore
Tumpuan :
Nasional

Bayi perempuan 2 tahun maut ditinggal lebih 7 jam dalam kereta

PETALING JAYA: Seorang bayi perempuan berusia 2 tahun meninggal dunia selepas ditinggalkan kira-kira tujuh jam dalam kereta di Ara Damansara, Petaling Jaya, Selangor semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata ibu mangsa terlupa menurunkan anaknya di tadika apabila menyelesaikan urusan perniagaan dalam taliannya.

Dalam satu kenyataan, ACP Mohamad Fakhrudin berkata pihaknya menerima laporan daripada seorang pengadu memaklumkan anaknya tidak sedarkan diri di rumah pada jam 3.49 petang semalam.

Pemeriksaan mendapati ibu mangsa menghantar dua anaknya ke sekolah berdekatan pada jam 7 pagi sebelum menghantar mangsa ke tadika.

Bagaimanapun setibanya di tadika, ibu mangsa berhenti seketika untuk menyelesaikan urusan perniagaan dalam taliannya sehingga terlupa menurunkan mangsa di tadika.

Ibu mangsa kemudian pulang ke rumah dan hanya menyedari keadaan anaknya di dalam kereta pada jam 3.55 petang dan didapati tidak sedarkan diri.

Bapa mangsa segera menghubungi talian MERS 999 dan memberikan bantuan kecemasan awal sebelum ambulans serta polis tiba.

Mangsa segera dikejarkan ke Hospital Sungai Buloh dan disahkan meninggal dunia.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001.

Orang ramai dinasihatkan sentiasa peka dan lebih bertanggungjawab terhadap anak-anak dibawah jagaan mereka bagi mengelak insiden tidak diingini berlaku.

|ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini