Tumpuan :
Nasional

Bayi maut: JKM perintah taska ditutup sejak Selasa

SHAH ALAM: Taman Asuhan Kanak-Kanak (TASKA) di Bandar Saujana Putra, Kuala Langat yang disyaki terlibat dalam kes kematian seorang bayi lelaki berusia empat bulan telah diarahkan tutup sejak kelmarin.

Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Selangor, Azmir Kassim berkata, pihaknya mendapat pemakluman mengenai insiden berkenaan daripada pihak polis pada Ahad lalu.

“JKM kemudiannya hadir ke taska berkenaan pada Isnin lalu dan mengarahkan taska untuk tutup operasi mulai Selasa,” katanya ringkas ketika dihubungi, hari ini.

Terdahulu, media melaporkan, bayi lelaki berusia empat bulan meninggal dunia selepas dihantar ke sebuah taska di Bandar Saujana Putra, Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Akmalrizal Radzi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 3.29 petang daripada seorang doktor sebuah klinik dengan bayi itu dibawa seorang pengasuh taska dalam keadaan pucat kebiruan pada bibir dan kaki, tiada nadi serta nafas selain tiada pergerakan anak mata bila disuluh lampu.

Katanya, siasatan juga mendapati taska berkenaan tidak berlesen dan dalam proses permohonan.

“Pengadu (doktor) serta-merta melakukan bantuan pernafasan atau resusitasi kardiopulmonari (CPR) dan bantuan oksigen sementara menunggu ambulans untuk dibawa ke Hospital Cyberjaya.

“Pihak hospital menerima bayi berkenaan kira-kira jam 4.35 petang hari sama dan melakukan CPR lebih 30 minit sebelum disahkan maut pukul 5.05 petang hari sama,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini