KAJANG: Bayi lelaki masih bertali pusat yang ditemui orang awam dibuang di tepi jalan berhampiran parkir sebuah pangsapuri, di sini, hari ini meninggal dunia sebaik menerima rawatan.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hasan berkata, pihaknya menerima laporan berhubung penemuan itu daripada seorang lelaki tempatan berusia 51 tahun pada 7.07 pagi.
“Bayi itu dipercayai baharu dilahirkan kerana masih mempunyai tali pusat dan uri dan tiada sebarang pakaian atau nota ditinggalkan bersama bayi berkenaan.
“Mangsa dibawa ke Hospital Serdang untuk menerima rawatan awal dan disahkan berada dalam keadaan tenat.“Setelah rawatan diberikan, pihak hospital mengesahkan bayi berkenaan meninggal dunia pada 10.35 pagi ,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, mayat mangsa diserahkan kepada pihak forensik untuk dibedah siasat.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara mencecah tujuh tahun, denda, atau kedua-dua sekali.
“Sebarang maklumat berkaitan bayi atau ibu bayi berkenaan boleh berhubung dengan mana-mana balai berdekatan atau berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat, Inspektor Muhammad Tasnim Mohamed Nor di talian 014-6209960,” katanya.