Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Bayi dalam kandungan maut akibat kemalangan di Jalan Bau-Lundu


Oleh: Kadir Edison

BAU: Bayi dalam kandungan yang berusia 35 minggu dua hari maut, selepas kenderaan jenis Perodua Beza yang dipandu oleh ibunya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda di Kilometer 5.0, berhampiran Simpang Opar, Jalan Bau-Lundu, petang semalam.

Dalam kejadian sekitar jam 5.30 petang itu, bayi malang tersebut disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di Hospital Umum Sarawak.

Ketua Polis Daerah Bau, Deputi Superintenden (DSP), Dr. Daram Ruer berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila pemandu kenderaan pacuan empat roda yang keluar daripada simpang menuju ke arah Bau bertembung dengan Perodua Bezza yang dipandu oleh wanita tersebut.

Keadaan Perodua Bezza yang dipandu oleh wanita sarat mengandung.

“Perlanggaran itu menyebabkan pemandu Perodua Bezza, wanita yang sedang sarat mengandung, mengalami kecederaan dalaman yang akhirnya menyebabkan kematian bayi dalam kandungannya.

“Ia disahkan oleh pegawai perubatan di Hospital Umum Sarawak,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau menambah, wanita itu kini masih menerima rawatan di wad kecemasan Hospital Umum Sarawak.

Kemalangan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1982.

Polis turut menyeru saksi kejadian atau individu mempunyai sebarang maklumat mengenai kemalangan itu untuk tampil membantu siasatan atau menghubungi balai polis berhampiran.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini