Tumpuan :
Nasional

Bayi berusia setahun maut akibat terjatuh dalam air, korban banjir ketiga di Kelantan

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat

RANTAU PANJANG: Seorang bayi berusia setahun meninggal dunia selepas terjatuh ke dalam air di rumahnya di Tumpat, pagi semalam.

Difahamkan, keluarga mangsa berlindung daripada banjir di tingkat atas rumah dua tingkat.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat, berkata kehilangan mangsa hanya disedari ibunya selepas tersedar daripada tidur dan mendapati anaknya tiada di sebelah.

“Selepas itu ibu mangsa mencari dan menjumpai bayi berkenaan lemas di tingkat bawah rumah berkenaan.

“Ini yang saya tekankan supaya terus berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) supaya tidak berdepan risiko sehingga membahayakan nyawa ahli keluarga.

“Disebabkan kedegilan ibu bapa (untuk berpindah ke PPS), bayi berusia setahun jadi mangsa. Kematian bayi ini adalah mangsa banjir ketiga di Kelantan termasuk di Pasir Puteh dan Machang,” katanya.

Justeru, beliau menasihatkan semua penduduk supaya terus berpindah sekiranya air mula naik di halaman rumah dan jangan menunggu ketika air sudah di tahap bahaya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini