Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Bayi baharu lahir dibuang di hadapan kilang makanan laut

KUANTAN: Bayi lelaki yang masih bertali pusat ditemukan di atas papan kayu berhampiran pagar sebuah kilang makanan laut di Kampung Peramu di sini, hari ini.

Bayi yang dipercayai baharu beberapa jam dilahirkan itu ditemui seorang wanita berusia 52 tahun kira-kira 12.10 tengah hari.

Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, selain beberapa gigitan serangga, bayi itu dilaporkan stabil dan dimasukkan ke wad untuk pemerhatian di wad kanak-kanak Hospital Tengku Ampuan Afan (HTAA).

Beliau berkata, polis menerima maklumat daripada orang awam mengenai penemuan bayi baharu lahir yang masih hidup berhampiran kilang makanan laut itu.

“Seorang wanita berusia 52 tahun yang menemui bayi itu mendakwa mendengar suara tangisan bayi kira-kira jam 7.30 pagi, tetapi tidak mengesyaki apa-apa dan beranggapan tangisan daripada rumah jirannya.

“Namun, pada 11.30 pagi, wanita itu masih mendengar suara tangisan dan mencari suara berkenaan sebelum menemui seorang bayi lelaki berhampiran pagar kilang makanan laut.

“Bayi berkenaan diletakkan di atas kayu dan ketika ditemui bayi itu dalam keadaan berdarah serta masih mempunyai tali pusat.

“Terdapat kerengga menggigit badan bayi berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, wanita berkenaan kemudian meminta bantuan kenalannya untuk menghubungi polis.

Loading...
Terkini