Oleh Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin
PUTRAJAYA: Seorang ibu berdepan detik cemas apabila bayi perempuannya terperangkap dalam kereta tengah hari tadi di Jalan Saujana Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) 2/3, Taman Saujana KLIA, Sepang.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Morni Mamat berkata, bayi berusia lima bulan itu terperangkap dalam kereta jenis Proton Saga yang terkunci secara automatik setelah ibunya keluar daripada kenderaan berkenaan.
Beliau berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pada jam 1.23 tengah hari.
“Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) KLIA yang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II, Hairul Shahiril Saadon bersama lima pegawai bomba diatur gerak dan tiba ke lokasi berkenaan kira-kira sembilan minit kemudian,” katanya.
Morni berkata, pintu kereta dapat dibuka oleh pihak bomba dengan menggunakan peralatan khas dalam masa lima minit.
“Mangsa dipercayai terperangkap selama 30 minit dan telah diserahkan kepada ibunya,” katanya yang memaklumkan bayi terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan.