comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Bayi 18 bulan maut nahas di LPT2

 

KEMAMAN: Seorang bayi perempuan berusia 18 bulan maut  dalam kemalangan membabitkan dua kereta di Lebuhraya Pantai Timur Dua (LPT2), malam tadi.

Nahas berlaku kira-kira jam 8 malam di Kilometer 324.4 berhampiran susur keluar Plaza Tol Kerteh.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Hanyan Ramlan ketika dihubungi berkata, mangsa Nur Afiah Sumayyah Mohammad Sulaiman, disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Unit Kecemasan Hospital Dungun pada jam 9.40 malam.

Ketika kejadian kereta dinaiki bayi terbabit bersama bapa, nenek dan tiga adik-beradiknya dari arah Bandar Cheneh Baru menuju ke Setiu.

Menurut beliau, setiba di lokasi kejadian, kereta Perodua Kancil dipandu bapa mangsa secara tiba-tiba menukar haluan ke lorong kanan kerana laluan kiri ditutup akibat jalan rosak.

Pada masa sama, sebuah kenderaan Perodua Alza dari arah belakang yang dipandu seorang anggota tentera tidak sempat mengelak lalu melanggar kereta dinaiki enam sekeluarga itu.

Kejadian menyebabkan kereta mangsa terbabas ke kiri jalan dan melanggar besi penghadang.

Akibat kemalangan itu, seorang daripada tiga adik-beradik mangsa patah kaki kiri manakala mangsa lain tidak cedera.

Kes  disiasat mengikut seksyen 41 ( 1 ) Akta Pengangkutan Jalan, 1987.

Loading...
Terkini