comscore
Tumpuan :
Nasional

Bayi 15 bulan tenggelam depan ibu

RANTAU PANJANG: Seorang bayi lelaki berusia 15 bulan, ditemukan lemas selepas terjatuh ke dalam paya di Simpang Empat Salam di sini, jam 12.15 tengah hari tadi.

Ibunya, Nabihah Che Muda, 21, berkata, ketika kejadian, dia membawa anaknya, Firdaus Mohd Faisal ke kedai milik saudara dengan tujuan membantu membasuh kedai terbabit selepas dilanda banjir beberapa hari lalu.

Menurutnya, anak kecilnya itu sentiasa diawasi, namun dengan sekelip mata bayinya hilang daripada pandangan.

 

Ibu muda itu terus bergegas mencari di kawasan sekeliling sebelum ternampak tangan bayinya itu   terkapai-kapai di dalam air.

“Saya cuba membantu dengan menghulurkan tangan untuk menarik anak saya namun dia mula tenggelam dan hilang.

”Saya kemudian memanggil sepupu untuk membantu, namun kami tidak berjaya.

 

“Saudara saya kemudian segera menelefon pihak bomba untuk meminta bantuan.

Katanya, suaminya tidak ada bersama kerana baru dua hari ke Bangkok, Thailand untuk bekerja sebagai pengawal keselamatan.

“Selepas dua jam, jasad anak saya ditemukan, saya reda namun masih dalam keadaan terkejut,” katanya.

Walaupun sangat sedih dengan apa yang terjadi, dia bersyukur kerana Allah memudahkan usaha pihak penyelamat mencari jasad anaknya.

“Luluh hati saya melihat sekujur tubuh anak yang sudah lagi tidak bernyawa, tambahan pula Firdaus adalah satu-satunya cahaya mata yang saya ada,” katanya yang juga warga Thailand.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang, Shapawi Stapa, berkata mangsa ditemui oleh anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) di dasar paya.

“Bomba mengambil masa selama dua jam untuk menemui masa susulan kawasan dipenuhi rumput tebal dan sampah sarap selain paras air yang tinggi selepas kawasan berkenaan dilanda banjir sejak beberapa hari lalu.

“Mangsa diserahkam kepada pihak polis untuk dibawa ke Unit Forensik Hospital Pasir Mas (HPM),” katanya.

 

Loading...
Terkini