comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Bayi 11 bulan meninggal dunia dalam jagaan pengasuh dipercayai tersedak susu

AYER MOLEK: Seorang bayi perempuan berusia 11 bulan maut selepas dipercayai tersedak susu ketika dalam jagaan pengasuhnya di Rumah Awam Ayer Molek, di sini pagi semalam.

Ibu mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Zaidah, 35, berkata dia dihubungi pengasuh sekitar jam 11 pagi memaklumkan keadaan anaknya tidak sedarkan diri dan badan kebiru-biruan.

Foto hiasan

Menurutnya, anaknya itu dijaga oleh pengasuh terbabit sejak berusia empat bulan memandangkan dia dan suami bekerja.

“Saya hantar anak ke rumah pengasuh kira-kira 7.30 pagi sebelum pergi bekerja di Sungai Udang manakala suami kerja di Pulau Gadong.

Sekitar jam 11 pagi pagi pengasuh telefon beritahu anak saya tidak sedarkan diri dan tubuhnya sudah kebiru-biruan mungkin sebab tersedak susu.

Saya memintanya segera membawa anak ke klinik berhampiran sementara saya bergegas ke sana,” katanya ketika ditemui pemberita di rumah keluarganya di Kampung Titian Bintangor, Alor Gajah, malam tadi.

Zaidah yang tinggal di Taman Desa Ayer Molek berkata setakat ini pihak hospital belum mengesahkan punca kematian anaknya kerana perlu menunggu laporan lengkap bedah siasat.

Terdahulu, jenazah anaknya dikebumikan di tanah perkuburan kampung berkenaan kira-kira jam 10.30 malam dengan dihadiri ahli keluarga terdekat.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

Katanya, setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut sementara menunggu laporan penuh bedah siasat.

Ahad lalu (23 Julai) seorang bayi berusia empat bulan turut menemui ajal dipercayai akibat tersedak susu di sebuah Taman Asuhan kanak-Kanak (TASKA), Bukit Baru di Bukit Katil, Melaka.

Loading...
Terkini