Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin
PUTRAJAYA: Pembayaran Sumbangan Tunai Rahmah Fasa 3 (STR 3) akan disalurkan mulai Isnin ini (26 Jun) kepada lebih 8 juta golongan B40, berbanding perancangan awal pada bulan depan.
Menerusi kenyataan hari ini, Kementerian Kewangan memaklumkan, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan memutuskan pembayaran STR 3 dipercepatkan sebelum Hari Raya Aidiladha bagi meringankan beban kewangan rakyat.
“Pembayaran ini membabitkan peruntukan lebih RM2 bilion yang mana penerima akan menerima antara RM100 hingga RM1,300 berdasarkan kelayakan masing-masing mengikut kaedah pembayaran ditetapkan,” menurut kenyataan itu.
Pembayaran akan dikreditkan terus ke akaun penerima yang mempunyai akaun bank secara berperingkat pada 26 Jun sehingga 5 Julai.
Bagi penerima STR yang tiada akaun bank termasuk di Sabah dan Sarawak, pembayaran tunai melalui cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) bermula 26 Jun.
“Status kelulusan STR 3 dibuka untuk semakan mulai 26 Jun 2023. Sebagai langkah memastikan program STR 3 ini disasarkan kepada mereka yang layak, tempoh permohonan rayuan juga akan dibuka mulai 3 hingga 31 Julai 2023,” menurut kenyataan itu.
Bagi permohonan yang ditolak, pemohon boleh mengemukakan dokumen berkaitan untuk semakan semula oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Maklumat lanjut berkaitan pembayaran STR 3 ini boleh dilayari di Portal Rasmi STR https://bantuantunai.hasil.gov.my.
Fasa pertama dan kedua STR telah disalurkan pada Januari dan April lalu.
Ketiga-tiga fasa STR berkenaan melibatkan peruntukan pembayaran berjumlah RM5 bilion bagi tahun ini.
Pembayaran fasa keempat STR dijangka pada November depan.