Oleh: Siti Khadijah Jaafar
PUTRAJAYA: Kaedah pembayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mengikut Income Contingent Loan (ICL) yang dilaksanakan melalui pemotongan gaji secara automatik melalui Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) disifatkan cadangan praktikal dan tidak membebankan peminjam.
Kaedah ICL sebelum ini dicadang oleh Jawatankuasa Menyemak dan Mengkaji Semula Dasar Pendidikan Tinggi Nasional (NRC).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sehingga Mei 2023, jumlah pinjaman yang belum dibayar berjumlah RM66.9 bilion.
“Sekiranya jumlah ini dibayar, ia boleh membiayai kira-kira 2.5 juta orang pelajar baharu. Salah satu cabaran terbesar kerajaan ialah bagi menjamin pembiayaan pendidikan secara berterusan.
”Pada masa ini, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) adalah penyumbang terbesar yang memungkinkan ramai rakyat Malaysia daripada pelbagai lapisan masyarakat untuk menyambung pengajian ke peringkat yang lebih
tinggi.
”Namun, dengan kadar bayaran balik pinjaman adalah amat rendah, kita bimbang dengan kelestarian PTPTN untuk jangka masa panjang,” katanya.
Beliau berkata, pemberian insentif kepada individu dan majikan yang membuat pembayaran balik juga akan menggalakkan lebih ramai peminjam melaksanakan tanggungjawab sivik mereka kepada peminjam baharu yang ingin menyambung pengajian tetapi tidak berkemampuan.
Teks ucapan Anwar dibacakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof sempena majlis penutup Hari Terbuka Pendidikan Tinggi Negara di sini.