Tumpuan :
Nasional

Bayar zakat fitrah guna saluran rasmi pihak berkuasa agama negeri

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Bersempena dengan ketibaan Ramadan, menjadi kewajipan bagi umat Islam membayar zakat fitrah sebagai tanda penyucian diri dan membantu golongan yang memerlukan.

Zakat fitrah adalah tuntutan fardu ain terhadap setiap individu Muslim yang berkemampuan, bertujuan untuk meringankan beban fakir dan miskin dalam persiapan menyambut Syawal.

Bagi memudahkan orang ramai, berikut adalah kadar bayaran zakat fitrah bagi tahun ini mengikut negeri termasuk Sabah dan Sarawak, yang ditetapkan berdasarkan harga beras yang dimakan.

Kadar zakat fitrah ditetapkan pihak berkuasa kerajaan negeri bermula RM7 hingga RM27 mengikut kategori beras yang dimakan.

Selangor menetapkan zakat fitrah RM7 hingga RM22, Johor (RM7, RM12, RM20), Kedah (RM7, RM14), Kelantan (RM8 namun digalakkan bayar kadar RM14 atau RM21), Terengganu (RM10, RM21), Melaka (RM7, RM15, RM22) dan Negeri Sembilan (RM7.50, RM12, RM22).

Pahang pula menetapkan kadar zakat fitrah RM7, RM14, RM21, Perak (RM10, RM16, RM27), Perlis (RM9), Pulau Pinang (RM7, RM10, RM15, RM25), Sabah (RM7.50), Sarawak (RM7.50) dan Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan) (RM7.00, RM15.00, RM22.00).

Orang ramai dinasihatkan untuk menunaikan bayaran zakat fitrah melalui saluran rasmi yang disediakan oleh pihak berkuasa agama negeri bagi memastikan sumbangan sampai kepada golongan yang benar-benar memerlukan.

Selain kaedah pembayaran secara tunai di kaunter, beberapa negeri turut menyediakan kemudahan pembayaran secara dalam talian bagi memudahkan urusan pembayar.

Dengan melaksanakan tanggungjawab berkenaan, umat Islam bukan sahaja menunaikan kewajipan agama tetapi juga memperkukuh semangat solidariti dalam membantu golongan kurang bernasib baik.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini