Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin
SEPANG: Penduduk di daerah Sepang, Selangor mendambakan perkhidmatan yang lebih baik ditawarkan Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) susulan penambahan hasil kira-kira RM41 juta apabila cukai taksiran dinaikkan mulai tahun depan.
Mereka mahu keupayaan pihak berkuasa tempatan itu dipertingkat dan kemudahan yang disediakan perlu setimpal dengan jumlah cukai yang dibayar.
Menurut Soo Chin, 50, beliau yang telah menghuni lebih 20 tahun di Taman Wawasan Puchong, mahu jalan raya di kawasan perumahannya dibaik pulih termasuk sistem perparitan dinaik taraf segera.
“Cukai pintu akan naik 25 peratus, kita lagi nak (MPSepang) tingkatkan perkhidmatan. Jalan mahu buat cantik, tak mahu banyak lubang-lubang, (kutipan) sampah mahu selalu (supaya) bersih, rumput mahu selalu potong, longkang pun sama juga (dibersihkan) mahu bersih,” katanya.
Hasrat sama turut disuarakan pemandu lori, S. Devithasan, 45, yang berharap insiden banjir yang kerap berlaku di kediamannya di Taman Mas Puchong dinoktahkan.
“Kawasan (jalan raya) banyak lubang, selalu banjir, kereta semua tak boleh lalu. (Jika) ada hujan, air akan naik, banyak kereta rosak. Jalan pun sesak, (jadi) jalan beri besar sikit, lampu isyarat pun banyak. Pagi nak keluar dari Puchong saja, (perjalanan) dalam 15 minit boleh satu jam,” katanya.
Penjawat awam, Herianti Rahmad, 49, pula mengimpikan perkhidmatan MPSepang akan lebih baik selepas kenaikan cukai tersebut sekali gus mencapai visi untuk menjadi Perbandaran Bersih, Hijau dan Mampan menjelang 2030.
“Saya harap cukai kita bayar itu dengan perkhidmatan akan sama rata, kalau kita bayar lebih, dengan sampah kutip pada masanya, rasa berbaloi dengan bayaran (cukai) yang kita buat,” katanya yang tinggal di Sungai Pelek sejak lahir lagi.
Sementara itu, Timbalan Yang Dipertua MPSepang, Muhamad Shah Osmin menjangkakan hasil kutipan cukai taksiran meningkat daripada RM150.9 juta kepada RM191.9 juta berikutan kenaikan cukai taksiran sehingga 25 peratus mulai 1 Januari 2025.
Jelas beliau, pihaknya komited untuk menyediakan pelbagai kemudahan infrastruktur seperti kemudahan awam, jalan raya, lampu jalan, perparitan dan taman awam yang diperlukan bagi memastikan kawasan kediaman sentiasa selesa, bersih dan selamat didiami.
Ini termasuk menumpukan 10 projek berdampak tinggi berjumlah kira-kira RM50 juta tahun depan antaranya pembinaan terminal bas tiga tingkat di tapak terminal bas sedia ada di Persiaran Multimedia Cyberjaya yang dijangka siap November 2026 dan pembangunan dua taman awam di Sepang Putra.
Selain itu, pembinaan kompleks komuniti Kampung Dato’ Abu Bakar Baginda, Sungai Merab dan balai raya Taman Arked Dengkil serta penggantian kabel bawah tanah bagi sistem lampu awam di Jalan Dagang Mas.
“MPSepang turut menggunakan pendekatan berstruktur dalam memastikan projek dirancang dan dilaksanakan memberi impak positif kepada rakyat.
“Skop projek yang dilaksanakan meliputi keseluruhan elemen pembangunan termasuk infrastruktur dan sosioekonomi penduduk,” katanya sambil menambah MPSepang sentiasa merancang program dan projek dengan pendekatan secara komprehensif serta menyeluruh.
Untuk rekod, MPSepang tidak menaikkan kadar cukai taksiran selama 29 tahun lalu sejak tahun 1996.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.