Tumpuan :
Nasional

Bawa masuk pelawat kawasan sekolah hanya urusan rasmi, dapat kebenaran JPN, PPD – KPM

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek (duduk tengah) bersama murid dan ibu bapa yang hadir pada Program Ceria ke Sekolah anjuran TNB di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Nibong Tebal di Nibong Tebal, Pulau Pinang, hari ini. – Foto NSTP

NIBONG TEBAL: Kementerian Pendidikan (KPM) mengingatkan semua institusi dibawah kendaliannya supaya meningkatkan kawalan keselamatan dengan tidak memberi kebenaran masuk secara mudah kepada mana-mana pihak ke kawasan itu tanpa sebarang urusan rasmi.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, ia untuk memastikan kawasan persekitaran di situ selamat manakala warga pendidik terhindar daripada terjebak dengan skim penipuan.

Katanya, pihaknya tidak pernah sesekali memberikan kebenaran terutama kepada syarikat yang mempunyai unsur penipuan untuk masuk ke kawasan sekolah.

“Jadi, sebab itu kita minta semua pihak, baik JPN (Jabatan Pendidikan Negeri), PPD (Pejabat Pendidikan Daerah) dan sekolah berhati-hati menerima tawaran daripada sesiapa sahaja.

“Kalau boleh rujuk KPM untuk kita pastikan sama ada mereka ini, (pihak yang masuk) adalah orang-orang yang datang dengan hasrat yang betul atau mempunyai agenda-agenda lain.

“Ini mesti diambil tanggungjawab penuh di peringkat sekolah, khususnya (dalam meningkatkan) keselamatan,” katanya ditemui pada Program Ceria ke Sekolah anjuran Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Nibong Tebal di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas laporan pengurusan sekolah membawa masuk perunding kewangan sehingga terdapat guru dilaporkan menjadi mangsa diperdaya dengan skim penipuan.

Kes berkenaan dibongkar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerusi Op Sky, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal berkata, pihaknya juga sudah mengambil maklum berhubung aduan membabitkan guru sudah terjebak dengan skim penipuan itu.

“Dalam hal ini, kita menyerahkan kepada pihak berkuasa dan berharap ia dapat disiasat dengan segera supaya nasib penjawat awam khususnya guru-guru kita dapat kita bela.

“Pada peringkat kita (KPM), memang kita ambil perhatian penuh tentang kes ini dan sentiasa mengingatkan semua guru-guru kita, pegawai-pegawai kita untuk mengambil langkah berjaga-jaga daripada terjebak daripada aktiviti ini.

“Kita juga sedang siasat dan teliti bagaimana mereka (syarikat perunding kewangan) boleh masuk ke premis-premis KPM yang kita percaya barangkali mereka masuk dengan kebenaran individu bukan secara rasmi.

“Maka sebab itu, kita minta pihak pentadbir pastikan dulu sesiapa sahaja yang nak masuk, mestilah mendapat kebenaran (rasmi) terlebih dahulu,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini