comscore
Tumpuan :
Nasional

Bawa bekas makanan sendiri ke bazar Ramadan – SWCorp

Ketua Pegawai Eksekutif SWCorp, Ismail Mokhtar bercakap kepada pemberita mengenai kempen kesedaran kurangkan penggunaan beg plastik di bazar Ramadan.

KUALA LUMPUR: Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) akan mengadakan kempen kesedaran kepada peniaga dan pengunjung untuk mengurangkan penggunaan beg plastik di bazar Ramadan pada tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif SWCorp, Ismail Mokhtar, berkata kempen berkenaan akan dilaksanakan di bazar Ramadan di tujuh negeri membabitkan Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Wilayah Persekutuan, Kedah dan Perlis iaitu negeri di bawah pentadbiran SWCorp.

“Kita mahu menggalakkan peniaga untuk tidak menggunakan beg plastik bagi membungkus makanan, manakala pengunjung pula digalakkan membawa bekas makanan sendiri ke bazar Ramadan.

“SWCorp juga akan mengedarkan beg guna semula kepada pengunjung untuk digunakan berulang kali di bazar Ramadan,” katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata, pada musim perayaan terutama bulan Ramadan, peningkatan dalam pembuangan sisa makanan adalah begitu tinggi.

“Daripada 38,000 tan metrik sisa yang dikeluarkan pada setiap hari, sebanyak 44 peratus datangnya daripada sisa makanan dan jika dikira jumlah berkenaan atau 17,000 tan metrik adalah daripada sisa makanan.

“Berdasarkan rekod tahun sebelum ini pada musim perayaan ia meningkat 15 hingga 20 peratus sisa makanan yang dibuang dan itu adalah jumlah yang tidak berubah dalam tempoh beberapa tahun lalu.

“SWCorp menjangkakan sebanyak 75,240 tan metrik sisa makanan akan dibuang sepanjang Ramadan tahun ini,” katanya.

Katanya, perkara itu adalah cabaran besar pihaknya bersama dengan beberapa agensi termasuk Alam Flora dan 52 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta beberapa syarikat konsesi di tempat lain.

Dalam perkembangan sama, SWCorp memberi jaminan bahawa jumlah pekerja adalah mencukupi dalam pengurusan sampah pada bulan Ramadan dan musim perayaan akan datang.

“Saya yakin jumlah pekerja yang ada ketika ini mencukupi untuk kita uruskan dan SWCorp sememangnya tidak ada isu pekerja tidak cukup.

“Jumlah pekerja ketika ini keseluruhannya seramai 26,000 di tujuh negeri yang terdiri daripada sektor pembersihan awam dan sektor kutipan,” katanya.

Loading...
Terkini