KUANTAN: Kerajaan Pahang akan memberi kerjasama penuh kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam kegiatan memunggah keluar hasil galian yang dipercayai mengandungi bauksit tanpa mengikut prosedur yang sah di sekitar daerah ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata beliau memandang serius kes itu kerana kegiatan terbabit menyebabkan kerugian daripada segi hasil kerajaan negeri.
“Saya mengalu-alukan tindakan SPRM untuk menjalankan siasatan kerana ia membabitkan hasil kerajaan negeri.
“Apabila berlakunya kecurian mineral bauksit, kerajaan negeri akan kehilangan hasil dan apapun kita tunggu keputusan mahkamah sebab masih lagi dalam peringkat siasatan.
“Malah, mereka yang melakukan kesalahan mencuri, apapun aktiviti haram bukan sahaja di kompuan, mereka akan terus ke mahkamah, itu menunjukkan betapa serius kita. Dengan adanya SPRM, lagi baiklah untuk kita meminimakan atau menghapuskan langsung ketirisan hasil kerajaan negeri sebab ini membabitkan hasil,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas penahanan tiga individu berkaitan kegiatan memunggah keluar hasil galian dipercayai mengandungi bauksit tanpa mengikut prosedur yang sah.
Semalam, media melaporkan SPRM menggempur kegiatan memunggah keluar hasil galian yang dipercayai mengandungi bauksit tanpa mengikut prosedur yang sah di sekitar Kuantan, kelmarin.
SPRM juga mengesyaki kegiatan itu dilindungi oleh pegawai sebuah agensi di bawah kerajaan negeri sejak tahun 2022.
Dalam serbuan dijalankan sepasukan anggota Bahagian Perisikan SPRM di sekitar Bukit Goh, agensi itu turut menahan tiga individu membabitkan dua pemilik syarikat dan seorang pegawai agensi berkenaan kerana dipercayai terbabit rasuah bagi melindungi kegiatan itu.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, dilaporkan berkata, dalam operasi itu pihaknya menyita wang tunai lebih RM26,000 bersama tiga unit telefon bimbit daripada suspek dan membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 16 Akta SPRM 2009.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.