comscore
Tumpuan :
Nasional

Baucar buku pelajar IPT diberi secara berperingkat

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Pemberian baucar buku bernilai RM100 kepada pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) akan dilaksanakan secara berperingkat.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, ia bakal memanfaatkan 1.2 juta pelajar IPT termasuk politeknik dan kolej komuniti.

“(Beri baucar) barangkali akan dibuat secara berperingkat tetapi khusus dalam tempoh dua, tiga hari sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2024 yang diadakan.

“Yang lain itu boleh dilaksanakan di peringkat universiti, politeknik dan sebagainya,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), di sini hari ini.

Semalam, Perdana Menteri ketika berucap merasmikan PBAKL 2024 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), mengumumkan pemberian baucar buku bernilai RM100 bagi pelajar Tahap Dua sekolah rendah dari Darjah Empat, sekolah menengah hingga ke peringkat IPT.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, baucar berkenaan boleh dituntut melalui mekanisme yang akan diumumkan, mulai jam 2 petang hari ini.
PBAKL 2024 bermula 24 Mei lalu sehingga Ahad ini.

Mengulas mengenai mekanisme tuntutan baucar berkenaan, menurut Zambry, Ketua Setiausaha KPT, Datuk Seri Dr Zaini Ujang telah mengadakan mesyuarat di peringkat pegawai hari ini.

Jelasnya, Zaini akan mengumumkan perincian pendekatan dan langkah-langkah yang diperkenalkan bagi membolehkan pelaksanaan itu dapat disegerakan menerusi kenyataan selewat-lewatnya petang ini.

“Berkaitan baucar buku, oleh kerana ia telah diumumkan oleh Perdana Menteri maka menjadi kewajipan kita (KPT) untuk mencari pendekatan cara dan kaedah bagaimana ianya dapat dilaksanakan dalam tempoh yang ditetapkan Perdana Menteri yang mahu supaya ianya dimulakan pada petang ini,” katanya.

Dalam pada itu, Zambry memberi jaminan akan memastikan tidak berlaku penyalahgunaan baucar oleh pelajar.

“Kita mengharapkan agar kisah-kisah lama tidak berulang,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini