Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Bau asap setiap malam resahkan penduduk

Oleh: Selwam Arjunan

NIBONG TEBAL: Hampir dua bulan penduduk di beberapa kawasan di daerah ini, terpaksa menghidu bau kurang menyenangkan terutama pada waktu malam.

Penduduk resah kerana punca pencemaran itu sehingga kini masih tidak diketahui dan bimbang ia menjejaskan kesihatan.

Aduan diterima daripada 10 persatuan penduduk dan kawasan Rukun Tetangga (KRT) sekitar kawasan Permatang Tok Mahat berhubung pencemaran bau yang dianggap misteri ini.

Penduduk mendakwa tiupan angin berbau asap pada setiap malam sehingga awal pagi.

Pada mulanya, keadaan itu diabaikan kebanyakan penduduk kerana menganggap ia kejadian terpencil.

Namun, ia berlarutan hampir setiap malam dan penduduk terpaksa menghidu bau busuk dibawa angin ke tempat mereka, sekali gus menyebabkan keadaan tidak selesa terutama kepada kanak-kanak dan mereka yang sakit.

Lebih 700 pelajar di asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Syeikh Abdullah Fahim juga antara yang terjejas.

“Kualiti udara memang tercemar, kalau tak percaya datang sendiri sini, diorang akan rasa apa yang kami rasa di sini,” kata Pengerusi KRT Taman Rantau Damai/Taman Selesa, Samsul Akmal Kartor.

“Kadang-kadang masuk ke dalam dorm jadi dia akibatkan kesan kerongkong dan pedih mata terutama kepada yang ada asma,” ujar Ketua Warden Asrama SMKA Syeikh Abdullah Fahmi, Abdullah Md Ramli.

“Asma saya memang teruk kebelakangan ini sebab kahak, banyak tak henti hari-hari,” luah suri rumah, Faridah Mat.

Penduduk sudah cuba mencari punca pencemaran di kawasan industri, termasuk dengan menerbangkan dron, namun tidak berhasil.

Aduan sudah dibuat penduduk ke Jabatan Alam Sekitar selain laporan polis dan di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri.

Apa yang penduduk harapkan, pihak berkuasa dapat menyiasat segera sebelum keadaan menjadi parah.

Sementara itu, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang mengesahkan telah menerima aduan penduduk.

Timbalan Pengarahnya, Azman Shah Ismail berkata, siasatan sedang dijalankan termasuk membuat tinjauan ke kawasan pencemaran.

“Jabatan Alam Sekitar Pulau Pinang telah menerima aduan daripada penduduk terbabit. Kami masih menjalankan siasatan untuk mengenalpasti punca pencemaran. Tindakan yang sewajarnya akan diambil selepas mengesan punca”, katanya.

Loading...
Terkini