comscore
Tumpuan :
Nasional

Batuk tak hilang, Shiha berjumpa doktor pakar

Shiha mempertaruhkan lagu Irama hasil ciptaan Iqie Hugh, Firdaus Rahmat dan John Jeeves di AJL 37, malam ini. Foto Ihsan TV3

KUALA LUMPUR: Finalis Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-37, Shiha Zikir berjumpa doktor pakar untuk mengurangkan masalah batuk yang semakin teruk,

Shiha mengaku mula bimbang apabila batuk yang dialami selepas dijangkiti Influenza, dua minggu lalu, tidak kebah, malah makin teruk.

Shiha yang akan mendendangkan lagu Irama hasil ciptaan Iqie Hugh, Firdaus Rahmat dan John Jeeves pada malam ini, menyatakan kerisauan terhadap aksinya pada pentas berprestij itu.

“Saya dapatkan rawatan di klinik tetapi tidak sembuh juga. Paling teruk, Khamis lalu. Saya jadi risau bagaimana hendak menyanyi.

“Disebabkan sakit dan asyik fikir soal persembahan, saya sampai tidak boleh tidur. Akhirnya, saya jumpa klinik pakar yang bagus, Jumaat lalu.

“Saya dapatkan rawatan dan ubat agar dapat bertahan sekurang-kurangnya sehingga malam ini,” katanya kepada BH Online.

Bertemakan Dimensi Muzik, AJL 37 akan disiarkan secara langsung TV3 dari Axiata Arena, Bukit Jalil, malam ini.

Mengulas mengenai persembahan, Shiha berkata, dia berbelanja ratusan ribu ringgit bagi memberi kepuasan kepada penonton.

“Konsep tahun ini agak lain kerana lebih kepada penggunaan lampu dan laser. Kosnya memang tinggi, tapi saya bersyukur kerana pasukan banyak membantu sejak peringkat separuh akhir lagi.

“Tidak kisahlah berapa kos dikeluarkan, asalkan kami puas hati. Menang atau kalah bukanlah ukuran kerana itu perkara kedua.

“Saya bersyukur dapat terus berada dalam industri muzik. Selepas 13 tahun, saya masih diterima peminat. Terima kasih kepada peminat yang sentiasa menyokong,” katanya. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini