Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Batalkan saja projek kuari di Gunung Baling dan Gunung Pulai! – penduduk

Oleh: Kumaran Rajamoney

BALING: Lebih 1000 penduduk di sekitar Gunung Baling dan Gunung Pulai kini resah apabila sebuah projek kuari di kawasan itu dijangka memulakan operasinya pada bila-bila masa.

Projek yang terletak kurang 500 meter dari kawasan penempatan itu, dibantah kerana dibimbangi akan memberi banyak masalah kepada penduduk.

Pengerusi Pertubuhan Alam Sekitar Sejahtera (GRASS) Mohd Sobri Ramlee mendakwa, projek itu mendapat kelulusan laporan awal Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA).

Katanya, projek ini akan dijalankan bagi tempoh 125 tahun di Gunung Pulai, manakala di Gunung Baling, tempoh kelulusannya adalah bagi 145 tahun.

“Kita dimaklumkan bahawa projek ini ditangguhkan. Namun, tinjauan penduduk kampung mendapati masih ada kerja-kerja tinjauan yang dilakukan oleh pihak kontraktor. Ini bermakna, masih ada usaha untuk memastikan projek kuari ini tetap diteruskan.”

“Justeru, kami menuntut agar kerajaan negeri segera mempertimbangkan untuk membatalkan terus projek ini. Biar ia direkodkan secara hitam putih.”

Penduduk katanya telah melakukan bantahan sejak 2018  untuk menyekat projek itu daripada diteruskan.

Namun, peralihan pucuk kepimpinan kerajaan negeri menampakkan usaha untuk menghidupkan semula projek itu sentiasa dilakukan.

Tambahnya, Menteri Besar Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor sedia maklum bantahan dan kebimbangan penduduk.

Malah beliau sendiri pernah membuat tinjauan di lokasi ketika menjadi Ketua Pembangkang.

Bagaimanapun sejak mengambil alih kepimpinan kerajaan negeri,  penduduk masih belum mendapat sebarang reaksi terhadap tiga surat yang dihantar berhubung bantahan itu.

Sobri juga kecewa kerana kajian penyediaan laporan EIA tidak terperinci apabila spesis flora terancam iaitu Sohmaea teres (Fabaceae) yang hanya wujud di Banjaran Gunung Baling dan Gunung Pulai tidak disenaraikan.

“Perkara ini dibuktikan berdasarkan kajian lapangan di Gunung Pulai pada 2019 oleh pengkaji Forest Research Institute Malaysia (FRIM). Projek kuari ini berpotensi menyebabkan kepupusan flora unik ini.”

Bagi penduduk, kebimbangan mereka ada asasnya.

“Penduduk di sini rata-rata terlibat dalam bidang pertanian. Habuk dari kuari pastinya akan memberikan kesan kepada kualiti tanaman. Itu belum lagi soal pemandu arah dan malim gunung yang bakal hilang mata pencarian.

“Kami penduduk di sini menolak sama sekali projek kuari ini.” kata wakil penduduk Kamaruddin Zakaria.

Untuk rekod, kajian pakar-pakar sejarah, arkeologi dan Jabatan Warisan Negara mendapati kawasan cadangan projek (Gunung Pulai) dan Gunung Baling (bersebelahan) mempunyai nilai yang tinggi daripada perspektif warisan sejarah dan arkeologi.

Penemuan artifak dan ekofak (tinggalan arkeologi bukan hasil karya manusia) menunjukkan masyarakat terawal telah mendiami kawasan sekitar Gunung Pulai dan Gunung Baling kira-kira 16,000 hingga 17,000 tahun lalu.

Loading...
Terkini