IPOH: Cadangan supaya Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) membatalkan lesen memandu bagi individu disahkan Kementerian Kesihatan (KKM) sebagai orang kurang upaya (OKU) mental perlu dinilai berdasarkan kes, bukannya secara melulu atau berdasarkan stereotaip.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, tindakan memangsakan semua OKU mental dengan membatalkan lesen memandu mereka sangat tidak wajar dilakukan memandangkan masih ramai daripada golongan itu yang mampu memandu dengan baik dan memerlukan pengangkutan sendiri termasuk dalam urusan mencari rezeki.
“Kita akan lihat berdasarkan kes spesifik dan tidak boleh (dinilai) secara umum (stereotaip) terhadap golongan OKU mental. Mereka juga perlukan lesen untuk berulang alik dan ada yang mampu memandu dengan baik.
“Jadi kalau ada kes terpencil dan spesifik, kita akan lihat sama ada akan tarik balik lesen mereka atau sebaliknya. Ini bukan dasar, sebab masih ramai OKU membawa kenderaan dengan selamat, malah ada yang jadi pemandu e-hailing yang kita lesenkan.
“Saya tak mahu keluarkan kenyataan secara umum yang boleh memangsakan yang lain. Kalau ada kes tertentu kita lihat dan ambil tindakan sewajarnya,” katanya selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoA) Cadangan Pembangunan Ipoh Sentral antara Ipoh Sentral Sdn Bhd (ISSB) dan Country Annexe Sdn Bhd (CASB) di sini, hari ini.
Anthony bersama Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad menyaksikan pemeteraian MoA itu yang ditandatangani Pengarah Urusan Kumpulan MRCB, Datuk Imran Salim mewakili CASB, manakala ISSB diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Firdaus Effendy Mokhtar.
Beliau ditanya reaksi kenyataan Presiden Persatuan Pengguna Jalan Raya Kebangsaan (PPJK), Fahami Ashrof Badaruddin semalam yang dilapor menggesa JPJ membatalkan lesen memandu individu disahkan OKU mental dengan alasan jika membenarkan seseorang tanpa kewarasan akal memandu, ia boleh membahayakan orang lain.
Fahami Ashrof mengeluarkan gesaan itu susulan laporan media pada Jumaat lalu mengenai seorang lelaki OKU mental berusia 47 tahun dipukul beberapa individu di Pasar Tani Padang Astaka Chukai, Terengganu selepas motosikal ditungganginya terlanggar sebuah gerai jualan menyebabkan makanan dijual tumpah.
Pada 9 Oktober tahun lalu pula, tiga penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Dungun maut dilanggar pemandu didakwa pesakit mental, namun Pejabat Kesihatan Terengganu yang membuat semakan mendapati suspek berusia 49 tahun tidak mempunyai sebarang rekod kesihatan sama ada di hospital atau klinik kesihatan.
Rentetan dua peristiwa itu Fahami Asrof dilapor berkata, PPJK mahu menghantar surat kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) atau Kementerian Pengangkutan (MoT) untuk memastikan sekolah memandu peka dengan pelajar yang datang sebagai OKU mental.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.
| ARTIKEL BERKAITAN
- Polis buru suspek pukul lelaki OKU
- Kes pukul OKU: Kerajaan serah kepada Pejabat Peguam Negara untuk tindakan lanjut – Fahmi
- G57 sedia saman RM1 Juta, bela lelaki OKU dipukul
- Pukul OKU di pasar tani, 4 individu ditahan
- Seorang lagi terbabit kes pukul OKU di pasar tani direman
- Suspek keenam kes pukul OKU ditahan