KUCHING: Bekas wartawan video TV3 Sarawak, Basri Mohamad dinobatkan sebagai Tokoh Wartawan 2024 pada Anugerah Kewartawanan Kenyalang 2024 (KJA 2024).
Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyampaikan anugerah berkenaan kepada Basri, yang menabur bakti dalam dunia penyiaran selama 20 tahun bermula tahun 1989 sehingga 2009.
Basri merupakan wartawan video pertama TV3 di Sarawak selepas dilantik sebagai wakil TV3 Sarawak apabila stesen televisyen swasta ini melebarkan sayapnya ke Bumi Kenyalang pada tahun 1989.
Liputan berita dari Sarawak pada ketika itu menjadikan TV3 sebagai saluran informasi yang menghubungkan Sarawak dengan Semenanjung, menerusi pelbagai paparan berita dan maklumat termasuk keunikan dan kekayaan budaya dan tradisi Sarawak.
Seiring dengan tagline TV3 ketika itu iaitu Berita Terkini, Hiburan Sensasi, berita dari TV3 Sarawak juga sentiasa menjadi tumpuan dalam blok utama antaranya tragedi tanah runtuh yang mengorbankan 16 penghuni rumah panjang Ruan Changkul, di Simunjan pada tahun 2002.
Basri yang kini sudah menjengah usia 82 tahun menzahirkan penghargaan atas ingatan terhadap pengorbanan dan sumbangan beliau dalam industri media sambil berharap pengamal media hari ini terus komited dalam menjalankan tugas.
“Bekerjalah dengan sepenuh jiwa dan raga tanpa perlu berkira kerana apa yang kita lakukan adalah satu perjuangan yang memerlukan pengorbanan.
“Manfaat daripada sumbangan titik peluh kita ini adalah sesuatu yang amat mulia kerana ia bukan untuk diri sendiri tetapi untuk seluruh masyarakat, bangsa, agama dan negara,” katanya.
KJA 2024 yang dianjurkan Persatuan Wartawan Bahagian Kuching (KDJA) bertujuan mengiktiraf wartawan di Sarawak.
Ia juga platform untuk menghargai pengamal media sekali gus memberi inspirasi untuk terus mencari kebenaran, keadilan dan akauntabiliti dalam pelaporan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.