comscore
Tumpuan :
Nasional

Basikal RXZ hadiah istimewa dari ayah

Oleh: Izzatie Rizan

BANTING: Himpunan RXZ Members 6.0 di Terengganu baru-baru ini tular dengan kehadiran basikal RXZ merah milik seorang remaja lelaki.

Dimodifikasi persis jentera asli, ramai yang tidak tahu pemiliknya Muhammad Rezky Arika Hamdi 12, adalah Orang Kurang Upaya (OKU) masalah pembelajaran.

Kekurangan yang ada bagaimanapun tidak mematahkan semangatnya menjiwai dunia permotoran apatah lagi didokong bapanya, Hamdi Mariunus 60, selaku tulang belakang.

Ditemui Buletin TV3 di rumahnya di Kancong Darat, Banting, Selangor, rutin harian Muhammad Rezky banyak dihabiskan di sebuah bengkel berdekatan rumahnya.

Ibarat rumah kedua, usai habis sesi persekolahan, dia akan menghabiskan masa kira-kira lima jam di bengkel terbabit menuntut ilmu mempelajari selok belok membaiki motosikal.

Berkongsi kisah, bapanya berkata kebaikan hati pemiliknya mendedahkan Rezky dengan kerja-kerja baik pulih turut mencetus bakat tidak disangka-sangka remaja OKU itu.

Melihat kesungguhan Rezky, mendorong Hamdi mereka cipta basikal istimewa.

Projek yang diusahakan bersama anak keduanya itu mengambil masa empat bulan untuk disiapkan.

Selain menggunakan modal sendiri berserta komponen motosikal hadiah orang ramai, kepakarannya selaku bekas juru kimpal turut diguna pakai bagi memodifikasi basikal berkenaan.

“Tak sangka sebenarnya, tiap tiap hari pergi bengkel dan apabila balik cerita mengenai motosikal. Saya lihat dia betul-betul minat bidang ini, jadi saya tidak halang dan bagi semangat.

“Mula-mula saya reka basikal YSUKU…kemudian basikal itu rosak sebab terlibat kemalangan, lepas itu buat pula projek RXZ warna kuning, rosak juga ….kemudian ada LC yang dijadikan basikal harian dia.

“RXZ merah ini saya reka khas sebab Rezky banyak terima jemputan pergi event motosikal,”katanya.

Bercita-cita menjadi mekanik, Rezky berkata dia ingin memiliki motosikal jenis RXZ dan LC suatu hari nanti.

Bukan mahu menjadi ‘mat rempit’ sebaliknya kerana cinta dalam dunia pemotoran.

“Saya jadi minat (bidang mekanik) lepas ‘lepak-lepak’ dekat bengkel. Mula itu memang nak mencuba sahaja isi masa lapang, tak sangka menjadi.

“Kini saya boleh tukar minyak hitam, baiki kerosakan yang ringan-ringan pun dah boleh.

“Ada juga yang minta tunjuk ajar buat basikal RXZ, tak kurang juga minta saya buat kumpulan WhatsApp tapi setakat ini saya masih fikir lagi,”ujarnya.

Rezky menjadi tetamu istimewa pada Himpunan RXZ 6.0 yang berlangsung di Kompleks Sukan Gong Badak, Terengganu September lalu.

Program selama dua hari itu disertai lebih 40 ribu peserta yang terdiri daripada peminat setia motosikal ‘ikonik’ berkenaan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini