Oleh: Fazli Ahmad
BENTONG: Dua terbunuh manakala 14 penumpang cedera selepas bas persiaran dipercayai terbabas sebelum terbalik di Kilometer 51.4 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak, berhampiran Hentian Rehat Lentang, dekat sini, hari ini.
Pegawai Perhubungan Awam, Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, berdasarkan laporan awal diterima, bas terbabit dinaiki 16 orang termasuk pemandu dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Karak.
View this post on Instagram
Menurutnya, 18 anggota dari Bomba dan Penyelamat Bentong bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima laporan mengenai kemalangan itu pada jam 7:53 pagi.
Sebaik tiba di lokasi, Komander Operasi melaporkan kemalangan membabitkan sebuah bas persiaran terbalik berhampiran laluan berselekoh dan merentangi lebuh raya.
“Terdapat 16 mangsa termasuk empat warga negara asing dan seorang mangsa tersepit.
“Bomba bertindak mengeluarkan mangsa tersepit dengan peralatan menyelamat.
“Laporan awal diterima 14 mangsa cedera dan dua meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.
Menurutnya, mayat kedua-dua mangsa diserah kepada polis untuk tindakan lanjut dan semua mangsa tercedera dihantar ke Hospital Bentong.
Identiti mangsa terbunuh dalam nahas itu belum diperolehi.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.