
Oleh: Mohd Ishak Abdilah Ngah
KEMAMAN: Enam pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Bandi, Kemaman, Terengganu, cedera selepas bas sekolah yang dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan pagi tadi.
Kejadian berlaku di Jalan Kampung Sungai Mas menuju ke Kampung Padang Kubu, di hadapan sebuah kilang pemprosesan kelapa sawit, ketika semua pelajar dalam perjalanan ke sekolah pada jam 6.50 pagi.
Kesemua mangsa yang cedera berumur antara 13 hingga 17 tahun.
Menurut pemandu bas, Hashimi Ahmad, 59, ketika kejadian, beliau dalam perjalanan rutin menghantar 32 pelajar ke sekolah berkenaan.
“Setibanya di hadapan kilang, bas tiba-tiba hilang kawalan, dipercayai akibat permukaan jalan yang licin dan berminyak.
“Saya cuba mengawal bas, tetapi ia terus meluncur dan melanggar sebatang pokok sebelum terbabas ke kanan jalan,” katanya.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd Razi Rosli, mengesahkan kejadian itu.
“Kesemua mangsa mengalami kecederaan di kepala dan beberapa anggota badan akibat terhantuk pada papan pemuka dan tingkap bas. Mereka telah dibawa ke Unit Kecemasan Hospital Kemaman untuk menerima rawatan sebagai pesakit luar dan dilaporkan stabil,” katanya.
Polis akan menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.
Kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.