comscore
Tumpuan :
Kemalangan

Bas persiaran terbalik, 42 mangsa selamat

Foto Ihsan Bomba Perak

IPOH: 41 individu yang sedang perjalanan menuju majlis keagamaan berdepan detik cemas apabila bas persiaran dinaiki mereka terbabas sebelum terbalik di KM 265 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan, di sini, pagi tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, semua 41 mangsa termasuk pemandu bas itu mengalami kecederaan namun kebanyakannya hanya cedera ringan.

Beliau berkata, panggilan berhubung kejadian diterima jam 7.28 pagi tadi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Meru Raya bergegas ke lokasi dengan dibantu anggota BBP Kuala Kangsar.

Katanya, selain bas berkenaan, sebuah kereta sedan turut terbabit dalam kejadian itu yang menjadikan keseluruhan mangsa adalah seramai 42 orang.

Bagaimanapun pemandu kereta itu tidak cedera.

Menurutnya, berdasarka maklumat awal yang diperoleh, bas berkenaan dalam perjalanan dari Kupang, Kedah menuju Ipoh bagi menghadiri upacara keagamaan itu namun terbabas apabila memasuki longkang saliran yang terdapat di sisi bahu jalan.

“Kesemua mangsa mengalami kecederaan disebabkan bas itu terbalik ke dalam longkang yang terdapat di sisi kiri lebuh raya. Mangsa sudah dibawa ke hospital dengan kebanyakan daripada mangsa mengalami cedera ringan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semua mangsa berjaya dikeluarkan dan diselamatkan oleh pihak bomba sebelum dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh menggunakan dua unit jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) selain bantuan daripada ambulans Kementerian Kesihatan (KKM).

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini