SANDAKAN: Tujuh cedera termasuk enam pelancong China apabila bas persiaran dinaiki mereka terbabas di hadapan sebuah pasar raya di Jalan Sibuga, di sini, kira-kira jam 9 pagi tadi.
Mangsa termasuk pemandu bas berusia 63 tahun yang parah dikejarkan ke Hospital Duchess Of Kent (HDOK) untuk rawatan lanjut.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Severinus @ Mohd Nidzam, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 9.15 pagi.
Katanya, sepasukan anggota bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) digerakkan ke lokasi kejadian.
“Setiba di lokasi mendapati kemalangan membabitkan sebuah bas persiaran membawa pelancong dari China seramai 17 orang terdiri daripada 13 dewasa manakala empat kanak-kanak.
“Enam pelancong cedera manakala pemandu parah dan semua mangsa dihantar ke HDOK oleh orang awam sebelum jentera bomba tiba di lokasi kejadian,” katanya.
Menurutnya lagi, pasukan bomba bertindak menjalankan operasi membersihkan tumpahan minyak di lokasi kejadian.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.