Tumpuan :
Nasional

Bas persiaran terbalik, seorang pelancong China maut

Foto ihsan bomba

Oleh: Safwan Sawi

SEMPORNA: Sebuah bas persiaran yang membawa 15 pelancong warga China terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori di Kilometer 21 Jalan Semporna-Tawau pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Semporna, Superitenden Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, kemalangan terbabit mengakibatkan seorang pelancong lelaki berusia 56 tahun maut.

Katanya, siasatan awal mendapati kedua-dua kenderaan masing-masing datang dari arah bertentangan.

“Hasil siasatan mendapati lori jenis Isuzu datang dari arah Tawau menuju ke Semporna manakala bas persiaran yang membawa 15 pelancong warga China berusia antara 30 hingga 60-an datang dari arah Semporna menuju ke Lapangan Terbang Tawau.

Foto ihsan bomba

“Lori yang dipandu datang dari arah bertentangan dan telah makan jalan dan masuk ke lorong bas persiaran lalu berlanggar sehingga menyebabkan bas terbabit terbabas serta terbalik ke sebelah kiri jalan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, mangsa yang maut telah dirujuk ke Hospital Semporna manakala penumpang lain tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Pemandu lori patah kaki sebelah kanan dan dirujuk ke Hospital Tawau,” katanya.

Katanya lagi, kes disiasat di bawah Sekyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

 

Loading...
Terkini