TUARAN: Seramai 33 penumpang sebuah bas ekspres yang dalam perjalanan dari Semporna ke Kota Kinabalu mengalami detik cemas apabila bas dinaiki merempuh belakang sebuah lori di Jalan Tamparuli-Ranau berhampiran Kampung Kapa, Tamparuli di sini, pagi tadi.
Difahamkan, kejadian kira-kira jam 5 pagi itu menyebabkan seorang penumpang lelaki cedera parah Nursiq Rahim, 31, manakala seorang lagi mangsa lelaki, Kantie Amir, 29, cedera ringan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daerah Tuaran, Abdul Qawie Abdul Gapar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian terbabit pada jam 5.04 pagi.
Katanya, seramai sembilan anggota bergegas ke lokasi kejadian dengan satu jentera dan satu kenderaan utiliti Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, pasukan bomba mendapati terdapat dua mangsa lelaki mengalami kecederaan dan segera diberi rawatan awal”.
“Kedua-dua mangsa itu kemudiannya dihantar menggunakan ambulan ke hospital Tuaran untuk rawatan lanjut,” katanya.
Menurutnya, seramai 33 penumpang bas ekspres termasuk dua mangsa yang cedera dan pemandunya dilaporkan selamat manakala pemandu lori yang membawa muatan kayu turut dilaporkan tiada kecederaan serius.
“Operasi kemudiannya ditamatkan pada jam 6 pagi selepas memastikan kenderaan terlibat dan lokasi kejadian tiada risiko bahaya lain,” katanya.
Abdul Qawie berkata, punca kemalangan dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.