KLUANG: Bas ekpsres yang membawa 11 penumpang terbalik di di kilometer (KM) 51, Lebuhraya Utara – Selatan arah Selatan, kira-kira jam 4.40 pagi hari ini.
Kejadian menyebabkan tangan kanan pemandunya hancur manakala seorang penumpang cedera.
Ketua Polis Daerah Kluang Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, mangsa dikenali sebagai Raju A/L A. Muniandy, 45, kini ditempatkan di zon merah di Zon Merah Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru.
Beliau berkata, seorang penumpang Chin Wei Hong, 27, cedera di kepala dan menerima tujuh jahitan.
“Hasil siasatan awal mendapati bas ekspres jenis Scania itu dari Kuala Lumpur ke Johor Bahru dengan membawa 11 penumpang.
“Apabila sampai di tempat kejadian, pemandunya hilang kawalan dan langgar pembahagi jalan di tengah jalan lalu terbalik ke sebelah kanan.
“Akibat dari kemalangan itu, pemandu (A1) dan seorang penumpangnya mengalami kecederaan manakala penumpang yang lain tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.Dalam pada itu, sebuah jentera FRT dari Balai Bomba dan Pengelamat (BBP) Renggam dibantu satu sebuah jentera FRT dan EMRS dari BBP Kulai dengan kekuatan keseluruhan 19 anggota telah dihantar ke tempat kejadian.
Komander Operasi Pegawai Bomba Kanan II Shoromi Salih berkata, semua mangsa telah keluar dengan sendiri sebelum pasukan keluaran operasi (PKO) tiba.
“PKO membuat pemeriksaan terdapat semua mangsa yang terlibat dan mangsa cedera diserahkan kepada pihak ambulans Kementerian Kesihatan,” katanya.
Katanya, operasi ditamatkan pada 5.47 pagi.