ISKANDAR PUTERI: Baru sahaja dua minggu bekerja, seorang wanita sanggup mencuri duit majikannya kerana mahu membayar hutang.
Perbuatan wanita berusia 24 tahun ini bagaimanapun dikesan majikannya menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV).
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Rahmat Ariffin berkata, wanita itu yang bekerja di sebuah kafe di Eco Galleria di sini ditahan selepas mencuri duit berjumlah RM400 pada Rabu lalu.
“Perbuatan itu dilakukan suspek kira-kira pukul 10 malam di kafe terbabit.
“Bagaimanapun perbuatan suspek tersebut dapat dikesan oleh majikannya menerusi rakaman CCTV sebelum membuat laporan polis.
“Susulan laporan diterima, sepasukan anggota polis dari Balai Polis Iskandar Puteri telah menahan suspek pada hari yang sama,” katanya di sini hari ini.
Menurut Rahmat, pemeriksaan yang dijalankan mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah.
“Suspek ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 381 Kanun Keseksaan,”katanya.