comscore
Tumpuan :
Nasional

Baru empat jam cuci rumah dah dilanda banjir semula

Pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Serbaguna Kampung Baru Sungai Mas.

KOTA TINGGI: “Sia-sia saja kami bersama sekumpulan sukarelawan bertungkus-lumus membersihkan rumah, selang empat jam banjir berlaku lagi,” kata mangsa banjir Kampung Baru Sungai Mas, Norizan Punijan, 54.

Norizan berkata pada jam 2 petang semalam seramai 20 pelajar sebuah pusat tahfiz membantu keluarganya mencuci rumah sehingga siap pada jam 5 petang.

Bagaimanapun belum sempat dia sekeluarga keluar dari pusat pemindahan sementara (PPS), air naik semula pada jam 9 malam tadi.

“Ini adalah ujian bagi kami namun kami redha dengan harapan ia tidak berulang lagi,” katanya.

Norizan Punijan, penduduk Kampung Baru Sungai Mas.

Jelas Norizan, rumah beliau antara lima buah rumah di Kampung Baru Sungai Mas yang teruk terjejas banjir kerana terletak di kawasan rendah dan hampir dengan sungai.

“Sekarang saya dan empat keluarga lagi sedang menunggu kelulusan pejabat daerah untuk berpindah ke tapak rumah di kampung ini bagi membina rumah baharu untuk mangsa banjir,” katanya.

Norizan berkata dia antara penduduk yang dipindahkan ke PPS di dewan serbaguna kampung berkenaan sejak jam 1 awal pagi kelmarin.

Ibu kepada empat anak itu bersyukur kerana semua perkakas dan peralatan elektrik sudah dipindahkan ke tempat tinggi sejak hujung bulan lalu lagi sebagai langkah persediaan.

Menurutnya, persediaan itu sudah biasa dilakukan pada setiap hujung tahun kerana biasanya banjir akan melanda pada setiap Januari.

Seorang lagi penduduk, Abdul Aziz Abdul Sukor, 59, berkata sungai di belakang rumah adalah antara punca banjir selain sistem saliran termasuk parit di depan rumah penduduk.

Abdul aziz Abdul Sukor, penduduk Kampung Baru Sungai Mas.

“Sudah tiga atau empat tahun sungai berkenaan tidak dibesarkan. Kami percaya pertembungan Sungai Felda Mas dan Sungai Ulu Papan berdekatan kampung ini memburukkan lagi keadaan dan menyebabkan kejadian banjir berulang,” katanya.

Abdul Aziz berharap permohonan mereka supaya sungai dan parit di kampung itu diperbesarkan akan diluluskan dan dipercepatkan oleh pihak berkenaan.

Mohd Azam Mohd Zin, warden pusat tahfiz.

Sementara itu, warden Madrasah Tahfiz Kota Tauhid Kampung Baru Sungai Mas, Mohd Azam Mohd Zin, 52, berkata empat buah kereta milik tenaga pengajar dan penduduk setempat ditenggelami air banjir kerana tidak sempat dipindahkan ke kawasan selamat.

“Mujur kami sempat memindahkan buku, kitab dan Al-Quran ke rak khas yang disediakan termasuk barang elektrik ke tempat tinggi,” katanya.

Tambahnya, pusat tahfiz itu yang menempatkan 13 pelajar dan dua tenaga pengajar turut ditenggelami banjir menyebabkan mereka turut berpindah ke PPS.

Loading...
Terkini