RAUB: Baru empat hari ditutup, pusat pemindahan sementara (PPS) mangsa banjir dibuka semula hari ini susulan bah di tiga perkampungan yang menyebabkan 34 penduduk daripada 11 keluarga dipindahkan ke PPS Dewan Kampung Pia, Dong, di sini.
Hujan lebat berterusan sejak jam 7 petang semalam, menyebabkan air sungai melimpah ke kawasan Kampung Sungai Kerak, Kampung Ajai dan Kampung Kuala Dong.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang, Che Adam A Rahman, berkata kesemua mangsa dipindahkan sejak awal pagi tadi ke PPS Kampung Pia.
“Mereka dipantau oleh APM, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung (JPKK),” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Sementara itu, Ketua Zon Tiga JPBM Pahang, Shahrul Nizam Nasir, berkata enam anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Raub, empat anggota PDRM dan tujuh anggota APM menjalankan kerja pemindahan mangsa sejak awal pagi tadi.
“Operasi pemindahan serta pemantauan keselamatan di PPS dibantu kekuatan empat kereta dan lori penyelamat milik PDRM dan JBPM, manakala APM Raub menyediakan sebuah bot penyelamat dan ambulans,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Shahrul Nizam menjelaskan, aliran Sungai Dong berdekatan Kampung Pasir Bayam berada pada paras amaran, iaitu 117.84 meter, manakala Sungai Gali berdekatan Kampung Ulu Gali pula pada paras 123.09 meter pada jam 7 pagi tadi.
Air Sungai Lipis berdekatan Batu Malim dan Sungai Dong berdekatan Kampung Peruas masih menunjukkan paras biasa dan bertahan, manakala keadaan cuaca pada hari ini cerah.
Katanya, penduduk di pesisir Sungai Dong, Sungai Gali dan Sungai Lipis dinasihatkan sentiasa berwaspada serta kerap mendapatkan maklumat sahih situasi banjir di kawasan terbabit daripada anggota APM, JBPM, polis dan pihak berkuasa lain.