Tumpuan :
Nasional

Barisan EXCO Perlis dirombak, 2 digugur, 3 muka baharu dilantik

Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bertitah pada Majlis Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Perlis, Istana Arau, Arau. Turut berangkat pada istiadat itu Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail. – FOTO: NSTP

ARAU: Barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (EXCO) Negeri Perlis sekali lagi mengalami rombakan apabila dua digugurkan manakala tiga muka baharu dilantik bagi penggal baharu.

EXCO Pembangunan Belia dan Kemajuan Sukan, Pembangunan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) dan Wilayah Ekonomi Baharu, Pemerkasaan Usahawan dan Ekonomi Kreatif Negeri Perlis, Wan Zikri Afthar Ishak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tambun Tulang daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Perlis digugurkan meskipun baharu setahun dilantik memegang jawatan berkenaan.

Selain beliau, EXCO Kesihatan, Kebajikan dan Pengurusan Bencana, Sains, Teknologi, Inovasi dan Teknologi Hijau, Alam Sekitar dan Perpaduan Negeri Perlis, Megat Hashirat Hassan yang juga Adun Pauh turut digugurkan.

Manakala tiga Adun yang dilantik sebagai EXCO adalah Adun Guar Sanji dari PAS, Mohd Ridzuan Hashim dan dua wakil Bersatu iaitu Adun Kuala Perlis, Abu Bakar Hamzah dan Adun Sena, Datin Marzita Mansor.

Dalam masa yang sama, terdapat beberapa perubahan portfolio dalam kalangan EXCO yang kekal.

Sementara itu, di Majlis Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Perlis bagi penggal baharu di Istana Arau di sini, hari ini, Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail menitahkan setiap EXCO yang dilantik dapat melipatgandakan usaha dalam mempercepatkan pembangunan negeri yang dilihat agak perlahan berbanding negeri lain.

“EXCO yang ada pada waktu ini perlu bekerja lebih keras dalam membawa pembangunan negeri yang dilihat agak perlahan berbanding negeri lain.

“Ini adalah tidak wajar kerana Perlis satu negeri yang kecil maka Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang ada perlu berusaha membawa kemajuan kepada negeri ini untuk kesejahteraan rakyat,” katanya.

Majlis turut dihadiri Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail; Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli dan Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Datuk Rahimi Ismail.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini